Saturday 6 January 2018

GURINDAM DAYANG ESAH TANDANG SARI - BAB 5

GURINDAM DAYANG ESAH TANDANG SARI
Nukilan Daud Ahmad

Bab 5.
Pada pagi yang cerah itu, bersedialah seluruh penduduk Sri Kadap. Berkumpul di pelabuhannya. Bahkan sepanjang jalan, dari Istana Tandang Sari, berbaris sekeliannya, ingin mengucap selamat jalan dan selamat kembali kepada raja mereka. Sekalian penduduk memang bersangka baik pada Datuk Kadir, beliau pergi melawat atau menziarahi Hulu Saribas memang akan mendatangkan kebaikan pada seluruh rakyat Negara Saribas ini. Sepanjang laluan perjalanan dari Istana Tandang Sari hingga ke pelabuhan Sri Kadap dihampari kain kuning dan merah berselang-seli dengan kain biru. Menandakan keberangkatan orang besar Negara Saribas akan menamdapat laba yang melimpah ruah. Bahtera yang bergelar Sekonyer sudah bersedia sepenuhnya, siap dengan bekalan makanan untuk tiga purnama bah para kelasi yang tegap dan gagah seramai empat puluh empat orang telah bersedia memegang pendayung, layar akan dinaik sekiranya angin berpuput betul dengan haluan.

Dari tempat bersemayam Istana Tandang Sari, Datuk Kadir dan isterinya Dayang Anum serta para pembesar sedang mengaminkan doa Imam Istana Negara Saribas, di hujung doanya berbunyi:

  Selamat berziarah selamat kembali,
  Buat raja yang kami kasihi,
  Biarlah tuah akan didapati
  Sejahteralah untuk semua ini

Semua bermohon pada tuhan
Agar semua mendapat kebaikan
Ingatlah semua kita insan
Buruk dan baik ada ketentuan,

Hidup raja sejahtera rakyat,
Kerna hidayah mendapat berkat
Pada janji tiada terikat
Pada semua mendapat rahmat

Raja pergi tiada lama
Cukup masa kembali jua
Kami terima apa seadanya
Datuk Kadir bertahta jua.

Amin..

Maka dengan lafaz bismillah... dan ucapan selawat ke atas nabi,  berangkatlah Datuk Kadir suami isteri berjalan menuju ke pelabuhan Sri Kadap.
Sepanjang perjalanan menuju ke pelabuhan riuh suara rakyat melaungkan kata semangat

"Hidup Datuk Kadir, Hidup Negara Saribas"

Berulangkali laungan semangat itu, bergema di seluruh Kota Sri Kadap, sesiapa yang mendengar pasti bersemangat, menyokong akan keberangkatan ziarah Raja Saribas. Datuk Kadir suami isteri yakin dan bersemangat tinggi sepanjang berjalan menuju ke pelabuhan Sri Kadap, jiwa kedua suami isteri terasa melayang di angkasa oleh laungan semangat dari rakyat Saribas yang berada di Kota Sri Kadap. Jiwa mereka suami isteri terasa muda kembali, dalam suasana yang riuh itu. Mereka berdua tahu rakyat meraikan akan kegembiraan mereka berdua.

Maka, sampailah mereka di pelabuhan, Sekonyer nampak megah dengan kibaran gada-gadanya yang berwarna-warni, lambang kebesaran Diraja Saribas. Naiklah kedua mereka itu dengan didahui isterinya, sebelum Datuk Kadir naik beliau menoleh kebelakang, digamitnya Datuk Tahih, salah seorang pembesar istana, Datuk Tahih terus menghampiri Datuk Kadir,

"Aduhai datuk, sepanjang ketiadaan sahaya di Sri Kadap ini, jagalah keharmonian rakyat, peliharalah adat-adat Diraja Saribas, sahaya pergi mungkin tiga ataupun empat purnama lama" pesan Datuk Kadir. Datuk Tahih tunduk menggangguk akan pesanan Datuk Kadir.

"Ingatlah wahai Datuk Tahih, jagalah anak lelakimu Abang Bunut dengan baik, sahaya mahu melihat, beliau membesar dengan sifat terpuji dan menghormati orang tua serta dapat menjaga adat Diraja Saribas nanti. Ingatlah Datuk Tahih, darah daging mu, darah daging ku jua, tiada perbezaan martabat antara kita"  isteri Datuk Tahih yang sedang menggendong Abang Bunut segera menghampiri mereka berdua, Dayang Upih namanya.

Datuk Kadir mengusap kepala Abang Bunut yang baru berusia lima bulan itu dengan lembut.

"Ingatlah Dayang Upih, jagalah anak ini dengan baik, kalau tiada aral lain dialah nanti pewaris tahta Saribas."

"Baiklah wahai, kekandaku Raja Saribas, kami berdua suami isteri, berharap kekanda kembali ke Istana Tandang Sari nanti, akan beroleh keinginan yang benar, setelah berziarah ke Hulu Saribas"
Datuk Tahih , menyahut dan terus memeluk Datuk Kadir, mereka berdakapan seketika. Selepas dakapan berlerai, Datuk Kadir terus melompat masuk ke sisi Sekonyer,  dan beliau terus memberi isyarat, bukakan tali tambatan,.
Dang Anum melambai-lambai tangan pada penduduk Sri Kadap yang masih penuh di pelabuhan. Bila semua sudah bersedia berbunyilah tukang sorak para pendayung,

" Ooo..... Haaaa'
Sekali disebut sekali bergerak dayung Sekonyer yang dua puluh dua pasang itu. Berlayarlah Sekonyer dengan agak perlahan meninggalkan pelabuhan Sri Kadap. Penduduk Sri Kadap .masih melambai tangan dengan dibalas Dayang Anum. Mereka masih melaungkan kata

"Hidup Datuk Kadir, Hidup Raja Saribas'

Hinggalah Sekonyer tidak kelihatan lagi, terlindung di sebalik tanjung. Berlayarlah Sekonyer itu ke Hulu Saribas.

  Dalam belayar bergerak dayung
  Sekali dihitung daunnya terapung
  Dayang Anum leka duduk bermenung
  Tebingan laluan berpucuk apong

  Datuk Kadir bermegah depan haluan
  Sekali-sekala menjengok buritan
  Pada kelasi sentiasa berpesan
  Ingat usaha dalam muafakatan

  Setanjung dua sudah berlalu
  Bertampung lagi haluan hadapan
  Sekonyer belayar bak angin lalu
Tiada sekali terdapat halangan...

Sekonyer meneruskan laluannya ke Hulu Saribas.

Nukilan Daud Ahmad

No comments: