Saturday 6 January 2018

GURINDAM DAYANG ESAH TANDANG SARI - BAB 9

GURINDAM DAYANG ESAH TANDANG SARI
Nukilan Daud Ahmad

Bab 9

Datuk Kadir tidak dapat melelapkan mata lagi. Hatinya gelisah, kalau boleh ketika itu juga dia pergi ke kolam tempat dia bersiram bersama isterinya petang tadi. Namun keadaan masih gelap.
Dalam masa itu fikiran Datuk Kadir, asyik memikirkan pesanan Pak Maulana ketika mimpi tadi. Sayup kedengaran, kokokkan ayam di tengah kampung, Datuk Kadir bangkit dengan perlahan takut mengejutkan isterinya dari lena.

Segera Datuk Kadir berjalan kearah kolam tempat mereka bersiram petang semalam. Keadaan pagi itu masih terang tanah lagi. Belum jelas kelihatan. Datuk menunggu kecerahan pagi itu dengan berdebar-debar. Parang sudah tersedia di tangannya. Kokokkan ayam makin galak. Sedikit demi sedikit cahaya pagi menyinari kawasan di teratak itu dan jelaslah kelihatan pokok buluh yang dikhabarkan Pak Maulana dalam mimpinya, pokok buluh tersebut berada di tengah-tengah rumpun dan berbatang cuma tujuh ruas sahaja. Pokok buluh itupun lebih besar dari pokok buluh yang berada di keliling kawasan itu.

Dengan berhati-hati Datuk Kadir menebang buluh tersebut dari perdunya. Setelah tumbang, pokok buluh tersebut, diheret ke luar dari rumpunnya. Datuk Kadir memotong ruas yang lain dan mengambil ruas yang ketiga. Kemudiannya, Datuk Kadir membelah ruas yang ketiga itu dengan berhati-hati.
Setelah terbelah, muncullah sebiji telur yang sama besar dengan besar buluh tersebut  kira-kira ukurlilitnya sehasta setengah. Datuk Kadir kaget sebentar, melihat telur itu. Dengan berhati-hati Datuk Kadir menggendong telur tersebut dan dibawa masuk ke teratak dan seterusnya dibawa ke bilik tempat isterinya sedang tidur lagi. Kemudianya Datuk Kadir meletakkan telur itu di atas dulang dan berlapikkan kain kuning dan merah. Beliau terus pergi bersiram semula sebab terasa miang di badan.  Dalam masa bersiram itu Datuk Kadir berfikir, inilah tuah yang dikatakan Pak Maulana dalam mimpinya. Hati Datuk Kadir belum tenang lagi. Ingin beliau cepat - cepat bersiram tapi rasa miang masih melekat di badan. Beliau ingin membuang rasa miang itu dengan mencurahkan air yang banyak. Akhirnya Datuk Kadir terus merendamkan badan dalam kolam itu.

Datuk Kadir berasa sudah selesa dan rasa miang sudah hilang. Cahaya pagi sudah terang benar, terasa lama juga beliau merendamkan badan dalam kolam. Dengan tetgesa -gesa Datuk Kadir mencapai persalinannya dan terus menuju ke bilik peraduan.

Sebelum sempat masuk ke bilik, Datuk Kadir terdengar suara isterinya sedang bergelak mesra, siapakah gerangan, hati Datuk Kadir bertanya.

"Anakanda, cukup halus kulitmu, cukup cantik senyummu, hati bonda rasa terhibur anakanda". Hairan Datuk Kadir mendengar suara Dayang Anum berkata begitu. Segeralah beliau masuk.
Dilihatnya, Dayang Anum sedang menggendong seorang bayi. Hati lebih hairan. Namun masih terdiam, beliau melihat Dayang Anum cukup gembira menggendong bayi tersebut.
Beliau terus duduk di sisi Dayang Anum.
Beliau melihat, dukang yang berisi telur tadi, telurnya sudah tiada hanya serpihan kulit telur yang berada di atas kain dalam dulang tersebut. Tersenyum Datuk Kadir, maka benarlah khabaran yang dikatakan Pak Maulana dalam mimpinya.

" Wahai adinda, gembirakah hati adinda atas kehadiran cahaya mata ini "Datuk Kadir bertanya pada Dayang Anum.

" Terima kasih kekanda, kerana memberikan kebahgiaan yang tak terhingga ini,  adinda terjaga dari lena kerna suaranya merenggek-renggek minta dibelai "

"Sebab itulah adinda membelai dari tadi hingga kedatangan kekanda". Dayang Anum tidak melepaskan gendongannya pada bayi itu,

Datuk Kadir bertanya lagi.
" Adakah bayi ini lelaki atau perempuan adinda "

"Perempuan kekanda, kita namakan bayi ini Dayang Isah kekanda, sesuai dengan kulitnya yang putih". Kata Dayang Anum.
Terus bangkit Datuk Kadir dari sisi isterinya dan berkata.
" Baliklah adinda, sahaya akan mengkhabarkan bahawa adinda telah selamat bersalin, melahirkan Dayang Isah. ". Terus Datuk Kadir menyambar bekas dulang tempat kelahiran Dayang Isah, dibawanya bersama. Ditanamnya kulit telur dan dulang tadi bersama kain pelapik di tepi kolam tempat bersiram.
Hatinya cukup bahagia atas kehadiran Dayang Isah. Segeralah beliau memanggil para dayang di bilik anjungan yang agak jauh.

"Wahai dayang-dayang Tandang Sari sekalian, panggilkan sahaya pengawal yang terdekat, sahaya ingin mengkhabarkan bahawa permaisuri beta telah selamat bersalin, dan melahirkan Dayang Isah, ". Berasa terkejut dan gembiralah hati para dayang tersebut, maka pergilah dua orang dayang memberitahu pengawal dan yang selebihnya bergegas pergi ke bilik Dayang Anum.

Gempar, berasa bertuah bumi dipijak, penduduk Hulu Saribas bila berita kehiran Dayang Isah diketahui.

Dayang Anum permaisuri Saribas
Lahirkan anak dayang isah
Dalam kelahiran tiada bekas
Seolah tiada merasa susah

Hati gembira tidak terhingga
Mendapat seorang cahaya mata
Walauhanya seorang sahaja
Tak kira apa jantinanya

Luka lama rasa terubat
Berganti dengan tawa dan ria
Terasa raja seorang hebat
Akhirnya dapat zuriat jua.

Sepanjang minggu itu penduduk Hulu Saribas, tiada henti mengujungi teratak istimewa itu, tiada larangan lagi dikenakan. Datuk Kedit rasa puas dapat berkhidmat dengan pemerintah Negara Saribas. Urusan penyampaian utusan ke Kota Sri Kadap di buat Datuk Kadir dengan segera. Utusan gembira dari Hulu Saribas.

Nukilan Daud Ahmad

No comments: