Saturday 6 January 2018

GURINDAM DAYANG ESAH TANDANG SARI - BAB 15

GURINDAM DAYANG ESAH TANDANG SARI
Nukilan Daud Ahmad

Bab 15

Keesokan harinya, Abang Bunut awal pagi sudah berada di taman Tandang Sari tempat dia dan Dayang Isah sering bersama bermain dari kecil hingga dewasa. Mengenal erti kehidupan, mengenal kasih dan sayang. Abang Bunut duduk termenung dalam kecerahan pagi mentari yang sedang naik itu. Dalam hatinya, terasa binggung, gusar dan senantiasa rasa tidak tenteram setelah mendengar cadangan ayahandanya.

   Kalau melutut di depan raja
   Sembahlah tangan atas kepala
   Kalau kuturut pesanan ayah bonda
   Hati pula terasa hiba

   Dalam hati dipendam cinta
   Tersangkut dalam ikatan mesra
   Kasih ibarat dalam saudara
   Kasih hati di depan mata
  
   Hendak belayar kurasa payah
   Kemudi bahtera salah haluan
   Hendak ku kata terasa susah
   Hendak ku luah terluka jangan

   Jika berjalan di onak duri
   Pedih rasa kaki ditusuk
   Masih kurang ilmu diri
   Apakah daya telah dirujuk

   Mungkin padi berubah hampa
   Bijinya luruh dipatuk pipit
   Mungkin cinta tiada balasnya
   Menaruh harapan yang amat sedikit

Cukup sayu seloka Abang Bunut, mengalir air matanya. Abang Bunut tidak menyedari bahawa setiap tutur kata selokanya telah didengar Dayang Isah, yang sedang berdiri dibelakang Abang Bunut. Hati Dayang Isah agak tersentuh sedikit, hairan mengapa, pagi-pagi lagi Abang Bunut berseloka sedemikian pilunya. Maka dijawablah akan Dayang Isah seloka Abang Bunut.

Hendak memetik bunga di taman
Harum kasturi ku pilih jua
Aduhai pilu apa gerangan
Tersentuh kalbu menikam rasa

Abang Bunut menoleh, cepat tangan menyapu air matanya. Dia agak tersentak sedikit melihat Dayang Isah datang ke Taman Tandang Sari berseorangan pagi itu tanpa para dayang bersama. Dayang Isah meneruskan selokanya.

Kalau padi berbuah hampa
Galilah ubi sebagai ganti
Pagi lagi sedih di muka
Hairan rasa pada diri

Hendak ku sapa takut marahnya
Hendak ku biar rasa tak puas
Hendak ku rasa apa salahnya
Hendak ku tahu apa dibalas

Dalam hati ingin bertanya
Di bibir pula rasa terkunci
Dalam hati kita merasa
Di bibir pula tersenyum sendiri

Cukup cantik Dayang Isah pagi itu, cahaya pagi seolah-olah tengelam dengan kecantikannya. Abang Bunut tercenggang sedikit, dilihatnya keanggunan Dayang Isah pagi itu lebih anggun, lebih bercahaya seri wajahnya pada hari -hari yang lepas. Tiada berkedip mata Abang Bunut buat seketika. Dalam hati Abang Bunut Dayang Isahlah perempuan yang paling cantik.

"Aduhai Abang Bunut, teman setia sahaya dari kecil hingga kini dewasa. Hati Isah agak tersentuh sedikit, bila Abang Bunut berseloka seolah-olah ingin meninggalkan Isah di sini. Kalaulah Isah ada berbuat salah atau melukakan hati Abang Bunut, maafkanlah Isah"
Dayang Isah bertutur, sambil menoleh ke arah lain, Dayang Isah tidak mahu Abang Bunut melihat sedikit genangan air matanya.

"Sedikitpun Isah tak pernah menyakiti hati Abang, barangkali Abanglah menyakiti hati Isah, kita seolah-olah tak mungkin berpisah sejak kecil lagi. Namun bila dewasa menjelma,  keadaan menuntut perasaan yang berat pada tanggungjawab" Abang Bunut berkata.

Termenung Dayang Isah mendengar percakapan Abang Bunut.

"Apakah beratnya tanggungjawab itu, hingga sanggup meninggalkan Isah sendirian, hilanglah tempat untuk Isah bermanja, bergurau senda sedihlah hati Isah Abang Bunut" Dayang Isah berkata dengan perasaan dan nada yang cukup pilu. Dalam hatinya, selain dari ayah bondanya hanya Abang Bunutlah tempat mengadu dalam banyak perkara. Bahkan kenangan manis banyak bersama Abang Bunut dari kecil hingga kini. Tanpa disedari, air mata Dayang Isah yang bergenang mulai deras mengalir.

Abang Bunut tak dapat menahan kesedihannya jua. Diapun turut menangis. Setelah diam seketika berkatalah Abang Bunut

"Isah, Abang telah diperintahkan ayahanda Datuk Kadir dan Datuk Tahih untuk berlayar. Tujuannya adalah untuk menambah ilmu di dada. Usahlah Isah berasa sedih, tujuan kedua ayahanda memang ada benarnya. Takkan Abang cuma hidup membesar di dalam Istana Tandang Sari sahaja." Abang Bunut cuba memberi penjelasan

"Dengan pelayaran ini, besar kemungkinan menjadikan Abang seorang yang tabah dan berilmu tinggi" tambah Abang Bunut.

Keduan Dayang Isah mula berkurangan bilamana Abang Bunut memberi penjelasan. Seorang lelaki, lebih-lebih lagi bakal pembesar Negara Saribas harus mempunyai pengalaman yang luas. Terfikir juga Dayang Isah.

"Jika itu tujuannya tiada salah Abang Bunut, malahan Isah setuju benar, tapi jangan lupa Isah, di Taman Tandang Sari ini, Isah hanya kain putih jika ayahanda kata hitam akan hitamlah nanti." S
Dayang Isah berkata.

" Dalam perantauan nanti, bawakan Isah selendan tujuh helai berlainan warna " Dayang Isah seolah - olah membuat pesanan.

Berbungalah hati Abang Bunut, Dayang Isah pun mula tersenyum. Senyuman cukup bermakna buat Abang Bunut.
Selepas itu muncul para dayang menghampiri mereka berdua.

Nukilan Daud Ahmad

No comments: