Sunday 7 January 2018

GURINDAM DAYANG ESAH TANDANG SARI - BAB 14

GURINDAM DAYANG ESAH TANDANG SARI
Nukilan Daud Ahmad



Bab 14

Bertambah maju dan pesat pertumbuhan perniagaan di Negara Saribas. Seluruh pedagang yang berlayar di Nusantara pasti singgah berniaga di Kota Sri Kadap. Datuk Kadir menjalankan sistem yang adil dalam perniagaan. 

Pada masa itu Dayang Isah telahpun berumur lapan belas tahun. Kecantikan Dayang Isah cukup masyur. Bahkan kecantikannya sering diperkatakan di seluruh nusantara. Para pedagang, nakhoda kapal dan tidak kurang juga raja dan sultan di nusantara ini berkenan akan kecantikkan Dayang Isah. Namun dalam diam Abang Bunut pun berkenan juga. Beliau merasa akan kehilangan sesuatu bila sehari tak berjumpa dengan Dayang Isah. Namun perasaan itu terpaksa dipendamnya terlebih dahulu. Beliau merancang pada masa yang sesuai baharulah dia mengambil Dayang Isah sebagai isterinya.

Dayang Isah pun menyimpan perasaan pada Abang Bunut namun takut meluahkan rasa hatinya. Hanya dengan bergurau dan bercanda dengan Abang Bunut seharian dapat menghilang rindu pada Abang Bunut. Namun Datuk Kadir dan Datuk Tahih mengganggap Abang Bunut dan Dayang Isah bergurau atau bercanda seharian ibarat adik beradik.

Sedikitpun mereka tidak menyangka Abang Bunut dan Dayang Isah ada menyimpan perasaan cinta menyintai sesama sendiri. Datuk Kadir berharap suatu hari nanti Abang Bunut akan menjadi seorang yang bijak dalam hal pentadbiran. Oleh yang demikian beliau sering bertanya pada Datuk Tahih akan perkembangan Abang Bunut walaupun sering melihat Abang Bunut senantiasa bersama Dayang Isah. Maka pada suatu hari berbincanglah Datuk Kadir dengan Datuk Tahih, mengenai Abang Bunut.

"Aduhai Datuk Tahih, bagaimanakah keadaan ilmu anakanda Abang Bunut, sudah bersediakah beliau menjadi salah seorang pembesar Negara Saribas ini."
Datuk Kadir bersuara.

"Dalam masa sekarang, sahaya rasa belum sesuai Datuk, biarlah kita tunggu setahun dua lagi. Tambahan ilmunya masih kurang, perlu ditambah akan pengalamannya" Datuk Tahih menyahut pertanyaan Datuk Kadir dengan sedikit penerangan.

" Kalau begitu, bukankah lebih elok kita suruh anakanda Abang Bunut berlayar, berniaga ke seluruh nusantara di samping itu dapat menjadi utusan Negara Saribas, bertambahlah ilmunya nanti " Datuk Kadir mencadangkan perkara tersebut pada Datuk Tahih.

"Molek sungguh bunyinya, biar sahaya berbincang dengan Dayang Upih dan Abang Bunut sendiri, sahaya akan usulkan perkara ini" Datuk Tahih menyetujui cadangan Datuk Kadir.

Sebelag malamnya, berkatalah Datuk Tahih pada anakanda Abang Bunut.

"Anakandaku, ayahanda dan bunda bersetuju benar akan cadangan Datuk Kadir untuk menghantar anakanda berlayar ke seluruh nusantara sebagai utusan negara Saribas ini. Dengan pelayaran dalam setahun, ilmu anakanda akan bertambah. Berpengalaman, sesuailah nanti jadi pembesar Negara Saribas dengan ilmu itu bila balik nanti"

Abang Bunut terdiam, hatinya terpaksa menurut permintaan orang tuanya. Pada itu susah hatinya untuk meninggalkan Dayang Isah, sebab sayang sungguh hatinya melihat Dayang Isah akan kesunyian bila dia pergi berlayar.

" Apa yang ayahanda fikirkan baik, anakanda akan turuti "

Sedih perasaan Abang Bunut menyahut percakapan ayahnya. Namun dilindung dalam senyuman pada wajah. Segeralah beliau beredar dan ingin berjumpa Dayang Isah ketika itu jua. Namun hari masih malam. Susahlah hati Abang Bunut dalam peraduannya. Termimpi dia akan Dayang Isah menangis.


Nukilan Daud Ahmad

No comments: