Saturday 6 January 2018

GURINDAM DAYANG ESAH TANDANG SARI - BAB 10

GURINDAM DAYANG ESAH TANDANG SARI
Nukilan Daud Ahmad

Bab 10

Genaplah sepurnama, Datuk Kadir suami isteri bersama anaknya Dayang Isah tinggal di teratak istimewa di penghujung kampung Hulu Saribas.
Sepanjang tempoh itu, penduduk kampung tak henti-henti mengujungi teratak itu untuk melihat Dayang Isah, bahkan ada yang berulang sampai empat kali sehari. Mereka sanggup duduk menunggu sekiranya Dayang Isah tidur atau ditukar pakaiannya atau menyusu pada ibunya. Bagi penduduk kampung Hulu Saribas, Dayang Isah cukup istimewa, tak pernah menangis, seolah-olah faham akan tutur kata orang dewasa. Datuk Kadir dan Dayang Anum dapat bermesra dengan Dayang Isah cuma sebelah malam sahaja.

Pada suatu hari Datuk Kadir memanggil Datuk Kedit. Bila sampai Datuk Kedit di teratak itu duduk bersilalah mereka berdua di anjungan. Sedangkan Dayang Isah dikerumi para dayang dan penduduk kampung. Berbalas seloka mereka di situ, Dayang Anum sedang memangku Dayang Isah.

  Anak punai anak merbah
  Tempua pula bersarang rendah
  Tiada susah tiada gundah
   Perit hidup terasa indah

  Jangan dimain anak tebuan
  Boleh menyengat pedih bisanya
  Jangan dimain hati perempuan
  Jika dah marah panjang lukanya
 
  Pagi-pagi mudik ke hulu
  Padi di sebarang masak bijinya
  Adat berkasih merasa rindu
  Hati merasa tinggi budinya.

Tak kala itu Dayang Anum pun berseloka jua, begini bunyinya:

  Kain baldu susah di cari
  Kain pelikat penghias taman
  Rasa rindu ku di tandang sari
  Bilakah lagi berpatah haluan

  Bukan perca pembalut permata
  Intan berharga tinggi mutunya
  Bukan dipinta cukuplah masa
  Berdagang lama rasa jemunya.

  Daun rumbia ku buat atap,
  Tumpahnya pula bertiang nibong,
  Apa khabarnya Kota Sri Kadap
  Rasa rindu pada kampung.

Tidur nyenyaklah Dayang Isah di pangkuan ibunya.. Bila terdengar Dayang Anum berseloka sedemikian fahamlah Datuk Kadir maksudnya. Dayang Anum ingin pulang ke Kota Sri Kadap, rindu pada Istana Tandang Sari. Datuk Kadir pun berasa rindu juga.

"Aduhai Datuk Kedit, sahaya berasa sudah lama berkampung di sini, bolehkah Datuk memberitahu sahaya bilakah masa yang sesuai untuk sahaya serombongan berangkat kembali ke Sri Kadap.?" Datuk Kadir bersuara mengajukan pertanyaan kepada Datuk Kedit.

"Sahaya rasa begini Datuk, dalam masa seminggu lagi purnama penuh, waktu itu air pasang besar, senanglah menghilir nanti. Sementara menunggu waktu itu eloklah kita berbuat kenduri selamat terlebih dahulu" Datuk Kedit memberi pandangannya.

"Kalau begitu, sahaya ikut cakap Datuk, molek sungguh cadangan itu" Datuk Kadir menyahut.

Tersenyumlah keduanya. Datuk Kedit terus bangkit , mengarahkan beberapa orang untuk menyiapkan acara kepulangan rombongan Datuk Kadir me Sri Kadap.

Nukilan Daud Ahmad

No comments: