Wednesday 13 December 2017

KISAH LAGENDA DAYANG ISAH TANDANG SARI

KISAH LAGENDA DAYANG ISAH TANDANG SARI

Kisah berlaku sebelum kewujudan Dinasti Brooke di sebuah negeri Saribas yang terletak di bawah kekuasaan Sultan Brunei. Pusat pemerintahan Saribas terletak di Tandang Sari atau pada hari ini dikenali sebagai Pusa. Sebagai pemeritah yang amat dikasihi rakyat, Datuk Temenggong Kadir mewakili kerajaan Brunei  memerintah dengan adil dan saksama. 

Dikisahkan Datuk Temenggong Kadir telah 7 tahun berkahwin dengan Dayang Siti Hajar namun masih belum dikurniakan cahaya mata. Hidup mereka bahagia namun kesunyian. Mereka berdua sentiasa berharap agar doa mereka dimakbulkan untuk mempunyai anak suatu hari kelak.

Pada malam tersebut setelah selesai solat, Temenggung Kadir terus tidur dan bermimpi. Dalam mimpinya beliau telah mendengar suara yang berkata:“Wahai Temenggong Kadir, aku kesian melihat kamu tidak henti-henti berdoa ingin mempunyai zuriat. Aku ingin menolong kalian berdua. Tapi kamu ikut apa yang aku suruh. Esok pergilah ke hulu Sungai Tandang Sari. Di sana nanti ada serumpun buluh betong. Potonglah buluh tersebut dan di dalamnya terdapat sebiji telur dan ambil telur tersebut dan simpan baik-baik”.

Selesai mendengar suara itu, Datuk Temenggong Kadir terus terjaga dari tidurnya dan tidak dapat melelapkan matanya lagi. Fikirannya berkecamuk memikirkan tentang suara tersebut. Adakah ia benar atau mainan tidur? Datuk Temenggong Kadir terus mengejutkan isteri dan menceritakan mimpi yang telah beliau alami. Isterinya merasa amat terkejut dan berharap agar suaminya menuruti mimpi tersebut.  

Keesokannya Datuk Temenggong Kadir terus ke tempat yang dimaksudkan seorang diri dengan menaiki perahunya dan berbekalkan Pedang saktinya "Gempetar Alam". Dalam perjalanan, matanya melilau-lilau melihat ke kiri dan ke kanan untuk mencari buluh tersebut. Akhirnya dia menjumpai serumpun buluh betong. Dengan hati yang berdebar-debar terus mengikat perahunya ke tebing sungai dan naik ke darat.

Dengan perasaan yang berdebar-debar dan hanya dengan satu tetakan sahaja buluh tersebut telah terpotong. Memang benar apa yang dialaminya di dalam mimpinya malam tadi. Di dalam bulu tersebut ada sebji telur. Tanpa melengahkan masa, dia teus mengambil telur tersebut dan di bawa pulang.

Pada malam itu semasa hendak tidur, telur tersebut diletak di sebelah kiri kepalanya. Tiba-tiba menjelang tengah malam, mereka berdua terkejut dari tidur kerana mendengar suara bayi menangis. Datuk Temenggong Kadir terus bangun dan didapati telur tersebut telah pecah dan ada seorang bayi berhampiran telur tersebut.

Walaupun terkejut dengan kejadian aneh tersebut, mereka berdua merasa amat gembira dan tidak tidur sehingga ke pagi menguruskan bayi yang baru menetas dari telur tersebut. Walaupun tidak diketahui asal usul anak tersebut, mereka berdua bersyukur kerana telah dikurniakan anak perempuan yang dinamakan Dayang Isah.

Masa berlalu begitu pantas, Dayang Isah telah pun membesar dan memiliki rupa paras yang amat cantik. Setiap lelaki yang terpandangnya pasti ingin memilikinya sehingga ada yang sanggup berbunuh sesama sendiri demi untuk memiliki Dayang Isah. Datuk Temenggong Kadir merasa amat kurang senang dengan kejadian sebegini dan mengambil keputusan untuk mengahwinkan anaknya dengan kadar yang segera.

Abang Bunut seorang pemuda yang baik tingkahlakunya dan amat disegani penduduk Tandang Sari. Disebabkan Abang Bunut bekerja di istana Datuk Temenggong Kadir, Dayang Isah dapat mengenalinya lebih rapat. Dari berkenalan sehinggalah berkasih sayang, perhubungan mereka berdua semakin hari semakin rapat. Perhubungan mereka direstui oleh Datuk Temenggong Kadir dan isterinya.

Pada suatu malam Datuk Temenggong Kadir sekali lagi bermimpi mendengar suara yang sama. Suara itu berkata,“Wahai Temenggong Kadir! Dengarlah kata-kataku ini. Dayang Isah kini telah dewasa dan menjadi rebutan jejaka Tandang Sari. Sesiapa yang berhajat untuk memperisterikannya mestilah menyediakan sepuluh kati emas sebagai mas kahwin”

Datuk Temenggong Kadir terbangun dari tidurnya. Beliau merasa amat resah dan bingung. Terkenang dengan Abang Bunut, seorang yang amat beliau senangi dan sangat menyintai Dayang Isah. Sudah semestinya sesuatu yang mustahil untuk Abang Bunut menyediakan sepuluh kati wang emas untuk mas kahwin.

Datuk Temenggong Kadir menceritakan tentang kisah mimpi kepada isterinya keesokannya. Isterinya merasa amat sedih namun terpaksa akur. Dengan perasaan serba salah, mereka berdua menceritakan kepada Abang Bunut dan Dayang Isah. Abang Bunut akur kerana beliau sendiri tahu, untuk menyediakan sepuluh kati emas adalah sesuatu mustahil untuk dirinya.

Diriwayat dalam satu kisah, ada seorang saudagar berbangsa Bugis bernama Nakhoda Khar dalam pelayaran bersama anak buahnya dari Palembang ke negara Brunei singgah sebentar ke Saribas. Disitu beliau mendengar kisah tentang kecantikan Dayang Isah serta kisah sepuluh kati emas.

Tanpa melihat paras rupa Dayang Isah, beliau terus menuju ke Istana Datuk Temenggung dan menyatakan hasratnya. Pada mula Datuk Temenggong Kadir berat untuk menerima lamaran tersebut kerana memikirkan Nakhoda Khar bukan orang tempatan. Namun berliau terpaksa menerima lamaran tersebut kerana memikirkan tentang mimpinya.

Maka berlangsunglah majlis perkahwinan selang beberapa hari selepas majlis pertunangan. Dayang Isah merasa amat sedih mengenangkan kekasih hatinya, Awang Bunut. Begitu juga sebaliknya yang berlaku kepada Awang Bunut.

Setelah sepurnama Dayang Isah bergelar isteri, Nakhoda Khar berhasrat untuk belayar ke Brunei untuk meneruskan perniagaannya. Ketika menghampiri Pulau Burung, beliau teringat tentang kerisnya yang tertinggal. Dengan melabuhkan kapalnya di Pulau Burung, beliau mengayuh sampan menuju semula ke Saribas.

Nakhoda Khar merasa tidak sedap hati ketika dalam perjalanan menuju ke istana setelah mengikat tali perahu di muara Sungai. Cepat-cepat di melangkah. Dari jauh sayup-sayup kedengaran suara isteri bergurau senda dengan Abang Bunut. Dengan perasaan marah, Nakhoda Khar membaca jampi tidur. Maka tertidurlah semua orang di dalam istana tersebut.

Nakhoda Khar mengambil kerisnya lalu dibunuhnya Abang Bunut yang sedang tidur dan terus berkayuh menuju ke kapalnya di Pulau Burung.

Keesokannya seisi istana telah sedar dari tidur. Dayang Isah terkejut melihat Abang Bunut mati dibunuh. Dayang Isah menyedari kerana kecantikannya banyak nyawa telah terkorban.

Di sini ada 3 riwayat menceritakan dalam versi berbeza. Sama ada Dayang Isah mati membunuh diri atau mati dibunuh oleh suaminya iaitu Nakhoda Khar.

1.Riwayat membunuh diri

Dayang Isah mengambil keputusan untuk menikam diri sendiri menggunakan keris tetapi tidak lut. Setelah gagal berbuat demikian maka Dayang Isah mengambil tujuh helai rambutnya yang panjang mengurai lalu diikatnya di leher hingga mati.

2.Riwayat cubaan bunuh oleh Nakhoda Khar

Setelah membunuh Awang Bunut, Nakhoda Khar juga cuba untuk membunuh Dayang Isah namun tidak dapat kerana isterinya tidak lut dengan apa-apa jenis senjata.(Ini pula kejadian pada waktu malam setelah membunuh Abang Bunut dan bila pula Dayang Isah mati?)

3.Riwayat permintaan bunuh dari Dayang Isah 

Kerana tidak sanggup melihat tindakan suaminya yang sangat kejam, Dayang Isah meminta suaminya membunuhnya dengan cara menjerut lehernya dengan tujuh helai rambutnya.(cerita ini nampak bercangkah, kerana sewaktu jampi tidur dibaca, seisi istana telah tidur termasuk Dayang Isah)

Melihat kejadian ini, Datuk Temenggong Kadir merasa amat marah dan tahu ini adalah angkara Nakhoda Khar. Beliau terus mengejar Kapal Nakhoda Khar dengan menaiki perahu bersama Lancang Mayang. Diriwayatkan perahu koleknya bergerak sepantas naga lapar dengan pengayuhnya selebar tiga hasta.

Setibanya di Pulau Burung, kapal Nakhoda Khar masih kelihatan. Dengan menghayunkan pedang sakti Gempetar Alam maka kapal Nakhoda Khar terus terbelah dua. Nakhoda Khar serta semua anak buahnya mati lemas di Pulau Burung.

Setelah itu, jenazah dayang Isah di makamkan oleh Datuk Temenggong Kadir di Tandang Sari, Saribas atau kini dikenali tanah perkuburan Kampung Kalok, Pusa kira-kira 150 kilometer dari Sibu dan 90 kilometer dari Betong.

Sumber
www.ohkitakorangsarawak.blogspot.my

No comments: